Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyasarkan untuk membangunkan serta menyiapkan pangkalan data atau papan pemuka (dashboard) melibatkan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata inisiatif itu dimulakan menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) menerusi pelancaran Dashboard PENJAYA, yang akan menjadi model rintis kepada pelaksanaan berskala nasional.

“Pembangunan dashboard ini melambangkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti, selain menunjukkan bagaimana data boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh sektor mikro serta menyokong dasar yang lebih inklusif.

“Data yang dikumpul dan dianalisis akan dipersembahkan secara interaktif, sekali gus membolehkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta badan pembangunan keusahawanan merangka tindakan lebih tepat dan bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Dashboard PENJAYA di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid dan Presiden PENJAYA, Juhaidi Yean Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata, penjaja dan peniaga kecil bukan sekadar pemain sektor ekonomi mikro, malah merupakan nadi sosial komuniti yang menghidupkan ruang awam, menjana pendapatan isi rumah serta menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

“Namun mereka turut terdedah kepada risiko tinggi seperti kekangan modal, kos operasi yang meningkat dan persaingan tempatan.

“Melalui dashboard ini, kami dapati setakat tahun 2024, terdapat 1,062 penjaja dan peniaga kecil berdaftar di Putrajaya, membabitkan 560 lelaki dan 502 wanita. Data ini menunjukkan keseimbangan penyertaan gender dalam sektor keusahawanan, terutama dalam bidang makanan dan minuman serta jualan runcit,” katanya.

Tambah beliau, Putrajaya dipilih sebagai projek perintis kerana demografi yang unik — dengan majoriti penduduk terdiri daripada penjawat awam serta struktur komuniti yang terancang — namun masih terdapat kelompok penjaja aktif yang memenuhi keperluan ekonomi pelengkap di pasar malam, acara komuniti dan lokasi tumpuan pelancong.

“Melalui integrasi maklumat pelancongan dalam dashboard ini, penjaja dapat mengenal pasti lokasi strategik serta merancang penawaran produk mengikut permintaan pelancong — baik dari segi lokasi, masa mahupun jenis produk.

“Dashboard ini turut membuka peluang untuk penjaja meneroka platform e-dagang serta perkhidmatan penghantaran tempatan seperti Warong Rider, bagi memperkukuh kehadiran digital dan daya tahan perniagaan dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kelebihan utama memiliki dashboard seperti ini ialah ia membolehkan permohonan bantuan kepada kerajaan dibuat secara lebih terperinci dan meyakinkan, berdasarkan data sebenar.

“Sebagai contoh, sebelum ini apabila memohon peruntukan daripada Kementerian Keusahawanan, kita hanya membuat anggaran kasar.

“Tetapi dengan data yang tepat — contohnya jika seorang penjaja perlukan RM1,000 dan kita ada 500 penjaja — kita boleh kemukakan permohonan bajet RM500,000 dengan lebih jelas dan tersusun,” katanya.-BH Online