Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Jepun mengusulkan inisiatif penubuhan pusat kerjasama baharu di negara ini sebagai wahana memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam bidang teknologi, kemampanan dan integrasi tenaga ASEAN.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia beriltizam untuk meneraju usaha serantau ke arah masa depan rendah karbon.

“Kita menyambut baik dukungan teknikal dan penyelidikan canggih dari Jepun, termasuk melalui inisiatif seperti Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), terutama dalam menyegerakan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh dan berskala besar.

“Jepun, dengan keupayaan teknologi serta pengalaman mendalam dalam tenaga boleh baharu, bioenergi dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS), telah muncul sebagai rakan yang mampu melonjak usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi tenaga mampan dan lestari,” katanya.

Perdana Menteri berkata usul berkenaan antara perkara dibangkitkan dalam pertemuannya bersama bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, ketika kunjungan utusan khas kepada Perdana Menteri Jepun itu, hari ini.

Anwar yakin melalui kesalinghubungan yang diperluas antara industri, dasar dan komuniti penyelidikan kedua-dua negara, Malaysia akan mampu mempercepat agenda peralihan tenaga, merintis penyelesaian inovatif dan memperteguh daya tahan ekonomi serantau.

“Ini saatnya untuk bekerja ke arah pemerkasaan ekonomi demi warisan yang lestari untuk generasi penerus,” katanya.– BERNAMA