Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RANTAU PANJANG: Penutupan pangkalan haram dan penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui laluan berkenaan di Kelantan sejak 1 Disember lalu, menyaksikan penyeludupan dadah ke Kedah pula meningkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dadah berkenaan antara lain dipercayai diseludup masuk ke Kedah melalui kuala, termasuk Kuala Sanglang.

“Di Kelantan, kita sudah menutup 212 pangkalan haram dan pada masa sama, menguatkuasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen dengan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram akan ditangkap.

“Hasilnya, pergerakan melalui pintu masuk tidak sah telah menurun secara mendadak. Data sebelum ini menunjukkan hingga 5,000 penduduk menggunakan pangkalan haram setiap hari, namun kini menurun kepada 50 orang saja.

“Saya meminta momentum ini dikekalkan kerana kita mendapati kes penyeludupan dadah berkurangan walaupun belum signifikan

“Namun pada minggu lalu, saya berada di Kedah dan dimaklumkan bahawa pendaratan dadah di negeri itu meningkat.

“Jadi, saya perlu semak dengan Kedah sama ada penutupan pangkalan haram di Kelantan menyebabkan mereka (penyeludup dadah) mengubah lokasi dengan menggunakan laluan di Kedah pula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta pangkalan haram, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan meneliti dari pelbagai sudut atau modus operandi serta laluan baharu penyeludup yang mungkin menukar taktik mereka.

“Adakah apabila kita perketatkan (penguatkuasaan) di sini (Kelantan), mereka akan menukar laluan ke sana (Kedah)? Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan serbuan telah menyaksikan trend bekalan dadah adalah menurun.

“Namun, kita masih perlu memberi tumpuan berhubung perkara ini. Justeru, tujuan lawatan saya pada hari ini ialah untuk melihat hal berkaitan jeti haram yang ditutup, selain kegiatan penyeludupan termasuk dadah dan PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.-BH Online