TAPAH: Kementerian Kerja Raya (KKR) meneliti keperluan melebarkan jalan dekat Jambatan Sungai Batang Padang di pekan Tapah di sini sebagai penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem penyuraian trafik jangka pendek yang sudah siap di pekan itu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dianggarkan RM15 juta diperlukan bagi pelebaran jambatan itu yang meliputi pertambahan satu lagi lorong, selain penambahbaikan perlu dibuat bagi laluan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Pelan jangka pendek kaedah penyuraian trafik itu membabitkan kos RM2.2 juta dengan tempoh ujian sistem penyuraian berbentuk laluan jalan sehala dimulakan sejak 23 Ogos tahun lalu dan kini sudah siap.
“Kami ada bermesyuarat untuk penambahbaikan akan datang, dan antara dimohon mengenai jambatan ini yang mungkin perlu dilebarkan lagi, begitu juga jalan berhampiran balai polis (IPD Tapah) untuk satu laluan dikhaskan hanya bagi kenderaan polis keluar masuk.
“Kalau semua ini nanti siap, sudah semestinya akan melancarkan aliran trafik di pekan Tapah ini,” katanya ketika meninjau sistem penyuraian trafik itu hari ini.
Menurut Nanta, kos penambahbaikan diperlukan bagaimanapun perlu diangkat terlebih dahulu oleh kerajaan negeri kepada KKR, sebelum boleh dibawa ke kementerian lain berkaitan.
“Pelebaran jambatan dicadangkan Jurutera Daerah, jadi KKR akan teliti dahulu. Kami akan lihat senarai daripada negeri, yang mana harus mengikut keutamaan.
“Kalau itu diberi keutamaan tinggi, memang mudah untuk kami (KKR) angkat untuk mohon daripada Kementerian Ekonomi untuk diluluskan,” katanya.
Ditanya jangkaan tempoh sistem penyuraian trafik jangka panjang pekan Tapah menerusi pembinaan pintasan sepanjang 200 meter membabitkan jangkaan kos RM17 juta akan dimulakan selain masalah peniaga yang mendakwa terjejas, Nanta bagaimanapun menyerahkan hal itu kepada kerajaan negeri Perak.
Media sebelum ini melaporkan pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengubah haluan jalan sepanjang 1.5 kilometer (km) di pekan Tapah menjadi laluan sehala bagi menghindari kesesakan trafik.
Pelaksanaan bagaimanapun dilapor menjejaskan sebilangan peniaga di pekan Tapah yang mendakwa ruangan parkir untuk pelanggan berkurangan, selain laluan tidak mesra pejalan kaki akibat kenderaan dipandu laju, sekali gus mengundang risiko keselamatan.-BH Online