Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM40 juta bagi proses baik pulih rumah yang terjejas insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini, awal bulan ini. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses baik pulih tersebut bermula seawal minggu ini bagi mempercepatkan fasa pemulihan kepada penduduk yang terbabit.

Beliau berkata, proses baik pulih berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu pertama membabitkan kerosakan kecil yang dianggarkan bawah RM30,000.

“Bagi kerosakan bawah RM30,000, penduduk boleh membaiki sendiri dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya ketika berucap pada penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden tersebut hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerosakan lain pula akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi kawasan Putra Heights, proses baik pulih akan dilakukan Sime Darby yang juga pemaju kawasan berkenaan dengan dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan. 

“Bagi Kampung Sungai Baharu, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung.

“Proses baik pulih ini akan menyiapkan kemudahan asas. Makna sebuah rumah akan akan kelengkapan pendawaian dan boleh didiami kembali,” katanya.-BH Online