PUTRAJAYA: Kementerian Kesihataan (KKM) akan mempertingkatkan pendekatan kawal selia penguatkuasaan terhadap rokok elektronik dan vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan itu adalah untuk melindungi orang belum dewasa (OBD) dari terjebak penggunaan rokok elektronik atau vape.
“Kita kawal secara rapi dari segi penguatkuasaan sama ada bermula dengan pendaftaran, pengiklanan, pembungkusan dan paparan larangan penjualan kepada OBD.
“Di sini saya tekankan, produk rokok dan vape adalah dikawal secara rapi menerusi Akta 852 demi kesihatan awam,” katanya kepada media selepas melancarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, beliau bersifat terbuka dan bersedia menyemak semula akta berkaitan rokok dan vape sekiranya terdapat keperluan atau bukti tertentu mengenainya.
“Undang-undang ini memang sifatnya hidup dan dinamik, ia selalu responsif. Saya terbuka untuk menyemak semula jika perlu, ia dikawal selia secara rapi, merokok dan vaping ini terutama dalam kalangan golongan sasaran OBD,” katanya.
Mengulas gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya KKM mengharamkan vape, beliau berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Terdahulu, media melaporkan CAP menggesa KKM supaya melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan vape dan rokok elektronik yang membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar.
Gesaan terbaharu itu muncul lagi susulan kejadian pada Isnin lalu, membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Kangar yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas mengalami sawan berpunca daripada penggunaan vape.-BH Online