KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kelulusan projek pembangunan yang akan membuka kepada pasaran baharu dipercepatkan, sebagai usaha mengadaptasi perkembangan situasi global kini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting dalam usaha negara mengukuhkan daya tahan domestik bagi berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Justeru, beliau berkata, pihak berkaitan perlu memperkemas dan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) proses kelulusan pembangunan sedia ada.
“Pemantauan secara berkala juga perlu dilakukan supaya negara sentiasa peka dan pantas mengadaptasi terhadap perkembangan situasi global kini.
“Saya mengulangi keperluan meningkatkan sinergi kerjasama dan perbincangan di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga di antara negeri dalam usaha negara memperkukuh daya tahan domestik dalam ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Ia adalah melalui usaha mempercepatkan kelulusan projek pembangunan yang akan membuka pasaran baharu,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Beliau menzahirkan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-47.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, langkah terbabit adalah ikhtiar kerajaan MADANI supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaya saing dan menjadi destinasi utama pelaburan dalam rantau ini.
Ketidaktentuan akibat perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China dilaporkan sebelum ini berupaya memberi kesan kepada ekonomi termasuk di Malaysia.
Presiden AS, Donald Trump pada 2 April lalu, mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
AS bagaimanapun memberi penangguhan selama 90 hari tarif ke atas 75 negara, termasuk Malaysia.-BH Online