Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan proses siasatan terhadap sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya di sini, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata syarikat itu akan berdepan proses sama daripada KDN seperti mana dibuat pihaknya terhadap akhbar Sin Chew Daily, sebelum ini.

“Selepas kami mengambil tindakan ke atas Sin Chew, maka orang ramai mengangkat insiden sama (yang dibuat syarikat makanan bayi).

“Mereka juga akan berdepan proses sama dari KDN,” katanya pada sidang media selepas ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini dan melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS), di sini.

Sebelum ini, Singapore Lactation Bakes (SLB) memohon maaf atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia, di sini.

SLB menyertai pameran perdagangan produk bayi di pusat pameran sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Ia insiden ketiga menyaksikan paparan Jalur Gemilang tidak lengkap selepas kealpaan sama dilakukan Sin Chew minggu lalu apabila menyiarkan ilustrasi bendera yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan. 

Mengulas siasatan terhadap Sin Chew Daily, Saifuddin berkata KDN sudah menerima maklum balas daripada akhbar itu untuk diteliti sebelum tindakan seterusnya boleh diambil.

“Setakat ini (yang dipanggil) pihak pimpinan Sin Chew, mereka sudah beri maklum balas semalam dan kita akan teliti dahulu maklum balasnya sebelum langkah seterusnya dapat dimuktamadkan,” katanya.

Tambah Saifuddin, tindakan seterusnya akan dibuat berdasarkan fakta dan penjelasan yang diberikan Sin Chew Daily dan jaminan diberikan bahawa KDN menguruskan perkara ini secara profesional, baik dan pantas.

Beliau berkata, perkara itu disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Saya mengingatkan semua pihak bahawa bendera adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud sebaliknya. 

“Jadi sebarang bentuk kelalaian, kecuaian dan kealpaan yang boleh mengundang rasa resah dalam masyarakat sebaik-baiknya dapat dielakkan.

“Jika perkara itu sudah berlaku maka ia akan kami ditangani dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan. Kita ada undang-undang dan proses siasatan yang akan mengambil tempat,” katanya.

Mengenai SPEAKS, Saifuddin Nasution berkata, platform itu bagi memudahkan aduan orang ramai dibuat kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sebelum tindakan seterusnya diambil.

Beliau berkata, aduan diberikan akan disalurkan kepada pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ia berkaitan rasuah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila membabitkan jenayah.

“Aduan perlu tampil dengan maklumat yang lengkap dan ia akan disesuaikan dengan fungsi di bawah bidang tugas… setakat ini SPEAKS sudah dilaksanakan dan ia berjalan dengan baik,” katanya.-BH Online