Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Sebanyak 22 Kursus Perdana Haji (KPH) dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara bermula 11 April lalu hingga 4 Mei ini.

Ia bagi memperkukuhkan kefahaman berkaitan manasik atau tatacara pelaksanaan haji, dalam kalangan bakal jemaah pada musim ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata TH menganjurkan beberapa kursus untuk jemaah haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan KPH.

“Kursus-kursus ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman berkaitan manasik haji dan perkara berkaitan, sama ada dari aspek kesihatan mahupun pengurusan.

“Saya mendoakan bakal jemaah mendapat manfaat dan diberikan kefahaman ilmu ibadah haji yang lengkap melalui kursus-kursus haji yang dianjurkan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian KPH Peringkat Wilayah Persekutuan Musim Haji 1446H/2025M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mohd Na’im turut menasihati bakal haji agar sentiasa menjaga akhlak dan mengamalkan sifat mahmudah atau terpuji sebagai tetamu Allah SWT.

“Tanamkan sifat syukur dan sabar dalam menghadapi lautan manusia serta ketidakselesaan sepanjang berada di Tanah Suci, terutama pada hari-hari kemuncak haji nanti.

“Saya berharap bakal jemaah haji dapat menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan ketika berada di Tanah Suci.

“Kekalkan sikap positif dan disiplin yang tinggi serta jadilah jemaah haji contoh untuk dunia Islam, seterusnya menjaga nama baik TH dan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, TH sentiasa komited menjaga kebajikan serta keselamatan setiap jemaah haji Malaysia melalui perkhidmatan dan kemudahan disediakan yang mencapai kualiti bertaraf dunia serta menjadi contoh kepada negara-negara Islam.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran setiap tahun, semua perkhidmatan ditawarkan TH kekal komprehensif serta pada tahap tertinggi demi kebajikan, keselesaan dan keselamatan jemaah haji negara,” katanya.

Seiring perkembangan teknologi, Syed Hamadah berkata, TH giat menyediakan pelbagai platform digital sepanjang operasi haji berlangsung sebagai kemudahan khusus buat bakal haji.

“TH menyediakan tiga platform digital berkaitan operasi haji, iaitu THHujjaj bagi memudahkan jemaah haji mendapat maklumat terkini sepanjang perjalanan haji.

“Selain itu, e-Bimbingan yang berfungsi sebagai pembelajaran ibadat haji dalam talian; dan e-TAIB yang membolehkan jemaah mengajukan soalan mengenai bimbingan haji, hukum-hakam serta mendapatkan penjelasan secara terus,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim 1446H/2025M dijadualkan pada 29 April depan, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei.-BH Online