TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir bukanlah individu asing bagi masyarakat Orang Asli.
Malah, pesara guru berusia 54 tahun itu turut disenangi golongan daripada suku Semai, selain dikatakan tidak kekok menyantuni masyarakat berkenaan bagi mendengar permasalahan mereka.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Kroh Dalam, Alangme Alang, 60, berkata Mohamad Yusri bukanlah sosok asing, selain diterima baik dalam kalangan penduduk di sini.
Beliau juga mengakui Mohamad Yusri yang juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam itu menjadi calon pilihan masyarakat Orang Asli pada PRK berkenaan.
“Beliau adalah anak jati Ayer Kuning dan selesa berkawan dengan semua orang tanpa mengira kelompok atau peringkat umur.
“Ini antara ciri yang baik untuk diketengahkan. Sebelum beliau dipilih sebagai calon pun memang kerap turun bertemu masyarakat Orang Asli.
“Kita senang dan selesa berhubung dengan beliau, terutama untuk menceritakan masalah dihadapi penduduk di kampung ini,” katanya kepada BH.
Berdasarkan demografi pengundi Ayer Kuning, seramai 31,897 pemilih layak mengundi, masing-masing Melayu sebanyak 56.8 peratus; Cina (21.12 peratus); India (14.43 peratus) dan Orang Asli (6.75 peratus).
PRK DUN Ayer Kuning yang menyaksikan saingan tiga penjuru itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung, pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam menewaskan empat pencabarnya daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 2,213 undi.
Alangme berkata, peluang Orang Asli memberikan undi kepada calon selain daripada BN adalah mustahil, dikatakan berpunca daripada sikap dan pendekatan digunakan dua lagi pesaing Mohamad Yusri.
“Masyarakat Orang Asli memang tidak mahu calon dan tak akan mengundi selain daripada BN memandangkan PN serta PSM tidak menjamin masa depan etnik kami.
“Kami tiada masalah untuk PN atau PSM datang berkempen, tetapi tidak benarkan mereka berceramah di sini. Kita hanya terima mereka sebagai tetamu dan tak lebih daripada itu.
“Mereka hanya datang menyantuni Orang Asli apabila pilihan raya berlaku, selain tempoh berkenaan tak pernah jengah pun untuk bertanya khabar,” katanya.
Banyak sedia kemudahan
Sementara itu, penduduk, Zaira Isa, 50, berharap Mohamad Yusri mampu menyediakan lebih banyak kemudahan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli, jika diberikan mandat pada 26 April ini.
Katanya, golongan pelajar di situ memerlukan kelas tambahan, selain mengakui terdapat keperluan menaik taraf kemudahan talian telekomunikasi dan capaian internet.
“Kualiti kehidupan kami banyak berubah di bawah pentadbiran BN, tetapi cabaran semasa memerlukan Orang Asli dilengkapi dengan pendidikan dan capaian internet yang baik untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Kita juga mohon supaya masalah perparitan, tiang lampu dan stesen bas segera diselesaikan bagi memastikan semua kemudahan berkenaan dapat dinikmati Orang Asli di sini,” katanya.
Mengenai kemudahan sudah dinikmati masyarakat berkenaan, Zaira berkata, BN sebelum ini, menawarkan perumahan tersusun kepada Orang Asli, selain membina pelbagai infrastruktur termasuk bekalan elektrik dan air bersih.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi memudahkan murid ke sekolah. Jarak antara rumah ke sekolah kira-kira empat hingga enam kilometer.
“Perkampungan kami juga disediakan dengan dewan dan surau yang sentiasa digunakan penduduk Orang Asli, terutama ketika sambutan perayaan,” kata ibu kepada empat anak itu.
Sementara itu, Mohamad Yusri mengakui terharu dengan komitmen ditampilkan masyarakat Orang Asli yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada BN.
Bapa kepada empat anak itu juga berharap mampu meraih sokongan penuh masyarakat Orang Asli pada PRK berkenaan bagi mengulangi sejarah terlakar pada PRU15 lalu.
“Mereka sememangnya penyokong kuat dan tegar BN dan sepanjang kempen pun kita lihat sambutan dalam kalangan Orang Asli sangat baik.
“Kita harap momentum ini akan berterusan dan diterjemahkan menerusi undi bagi membolehkan BN mencapai kemenangan selesa, didorong sokongan masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.
Mohamad Yusri antara lain menyifatkan sokongan Orang Asli dipercayai berlandaskan kejayaan BN membawa pelbagai perubahan, sekali gus menaik taraf kualiti kehidupan masyarakat berkenaan.
“Keadaan sekitar kampung ini juga sudah banyak membangun, tiada lagi rumah tradisional Orang Asli. Mereka kini menetap di perumahan terancang yang lebih selesa dan dibangunkan BN sebelum ini.
“Melalui evolusi yang ada, masyarakat Orang Asli di sini, sudah tidak lagi mempraktikkan gaya hidup nomad sebaliknya mendiami kampung ini secara lebih tersusun,” katanya.-BH Online