KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menyampaikan pendirian dan kesepakatan bersama negara anggota ASEAN untuk meneruskan rundingan dan semangat kesepaduan bagi mencari jalan penyelesaian yang mampan berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu disampaikan kepada Presiden China, Xi Jinping pada mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China, yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, perbincangan selama sejam itu turut menyentuh mengenai usaha meneroka ruang bagi melonjakkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang,
“Alhamdulillah, hubungan Malaysia-China terus kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan kedua-dua negara komited untuk memperluas kerjasama ini demi manfaat bersama,” kata beliau melalui Facebooknya semalam.
Perdana Menteri hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Jinping, sempena lawatan negara Presiden China itu selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jumaat lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memaklumkan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, meminta melalui Kementerian Luar membincangkan isu tarif pada sidang kemuncak khas Amerika Syarikat (AS)-ASEAN.
Beliau turut mengesahkan semua pemimpin ASEAN bersetuju ke AS bagi bertemu Presiden Donald Trump pada sidang kemuncak itu.
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan pertemuan dua hala dengan Jinping sebagai satu detik yang amat bermakna dan bersejarah, sekali gus melambangkan komitmen jitu kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik yang sudah terjalin sejak sekian lama.
“Ketibaan disambut dengan penuh mesra dan hormat, diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(2), yang turut menyampaikan ucapan ‘Selamat Datang ke Malaysia’ dalam bahasa Mandarin, hatta mencerminkan semangat persahabatan dan saling menghormati antara rakyat kedua-dua negara.
“Saya mengalu-alukan kunjungan Presiden Xi, seorang sahabat sejati dan pemimpin yang saya hormati kerana kepemimpinannya yang menerajui kemajuan ekonomi dan memperjuang prinsip kemakmuran bersama serta nilai ketamadunan sejagat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Jinping turut menzahirkan simpati dan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada keluarganya serta seluruh rakyat Malaysia.-BH Online