Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis, tiada kaitan dengan isu kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata lawatan berkenaan sudah lama dirancang dan bukan satu kunjungan mengejut seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak.

“Setiap lawatan pemimpin besar seperti ini tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya ia disusun rapi beberapa bulan lebih awal.

“Lawatan ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu tarif yang timbul baru-baru ini.

“Ketika lawatan ini dirancang, kita tidak menjangkakan isu tarif akan menjadi topik hangat, maka jangan tafsirkan kunjungan ini dalam konteks yang tidak tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled tidak menolak kemungkinan isu semasa termasuk kesan daripada kenaikan tarif akan dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua negara.

Katanya, sebarang perbincangan akan memberi tumpuan kepada mencari penyelesaian dan manfaat bersama antara Malaysia dan China.

Media sebelum ini melaporkan, lawatan negara Xi Jinping ke Malaysia pasti akan menjadi kunjungan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini, sekali gus mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala.

Lawatan bermula hari ini hingga Khamis ini dianggap amat tepat pada masanya, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, blok serantau yang dianggotai oleh 10 negara, dengan pelbagai siri mesyuarat dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.-BH Online