KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperkukuh pertumbuhan ekonomi Pahang dengan merealisasikan pelaburan bernilai RM1.4 bilion pada suku pertama tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah itu mewakili 25 peratus daripada sasaran pelaburan tahunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) iaitu RM5.6 bilion.
Katanya, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan mampan yang semakin mendapat keyakinan pelabur.
“Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama merangkumi 53 peratus daripada jumlah pelaburan, diikuti oleh sektor minyak dan gas (45 peratus) yang tertumpu pada pembangunan fasiliti bahan kimia.
“Sektor perkhidmatan pula menyumbang baki dua peratus menerusi projek-projek tenaga boleh diperbaharui termasuk loji mini hidro dan biomass, selaras dengan agenda pertumbuhan hijau negara, sekali gus melengkapi ekosistem pelaburan yang lebih pelbagai dan seimbang.
“Pencapaian ini jelas membuktikan daya tarikan negeri Pahang sebagai destinasi pelaburan yang strategik, terutama dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi serta industri minyak dan gas.
“Pelaburan ini turut berjaya menjana lebih 700 peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejajar dengan inisiatif memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri, Wan Rosdy berkata, dua projek infrastruktur utama berjaya disiapkan bagi meningkatkan potensi pelancongan berasaskan ekologi dan warisan di Pahang.
Katanya, usaha itu merangkumi projek penaiktarafan Bandar Pekan Lama yang disiapkan pada 22 Disember lalu serta
projek penambahbaikan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Cherating, di sini yang siap pada 8 April lalu.
“Kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan ECERDC dalam memperkukuh aset budaya dan ekologi demi menyokong pelancongan yang mampan.
“Kerajaan Pahang akan terus memberikan sokongan padu dan memudah cara pelaksanaan pelaburan strategik yang bukan sahaja berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Malah, ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan pembangunan industri yang mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.-BH Online