KUALA LUMPUR: Tiga penyampaian ekonomi utama (PED) di bawah Trek Kewangan yang menjadi teras perbincangan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 mencapai kemajuan yang positif.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata di bawah PED pertama, negara anggota berazam supaya perjalanan peralihan iklim yang adil dan teratur serta inklusif lagi berwibawa.
Beliau berkata, instrumen yang dibangunkan mestilah berguna dan munasabah, ditanda aras kepada rangka kerja lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil dibentuk mengikut keperluan ASEAN seperti taksonomi ASEAN Versi 4 berada di landasan untuk pelancaran pada November 2025; panduan kewangan peralihan ASEAN Versi 2 telah disahkan di AFMGM.
“Kemajuan ketara sudah dicapai bagi mendapatkan pelabur bagi Grid Kuasa ASEAN (APG), dengan perbincangan meja bulat diadakan pada 7 April 2025 membabitkan Tenaga Nasional Bhd dan PETRONAS untuk menggerakkan penyelesaian pembiayaan.
“Buku Strategik Rantaian Nilai Penghijauan ASEAN telah dikeluarkan pada kelmarin (8 April), dengan Thailand berpotensi menjadi perintis program serantau. Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN (SEDG) Versi 1 telah dilancarkan pada 8 April 2025 dengan versi akhir ditetapkan untuk diumumkan pada November 2025,” katanya pada sidang media penutup AFMGM dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, di bawah PED kedua bagi mempercepatkan pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih mampan, terhubung dan inklusif, Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 berada dalam landasan yang betul dan akan dilancarkan pada Persidangan Antarabangsa ACMF pada November 2025.
Beliau berkata, PED ketiga untuk memperluas ketersambungan pembayaran segera yang inklusif di ASEAN pula, memperlihatkan pelan hala tuju dan sasaran kuantitatif telah dimuktamadkan dan disahkan di AFMGM hari ini.
“Kami mengesahkan komitmen terhadap kestabilan dan integrasi kewangan serta mengalu-alukan kemajuan yang dicapai di bawah Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2025. Ini termasuk pembangunan pasaran modal, integrasi perbankan, rangkuman kewangan dan garis panduan baharu untuk urus niaga mata wang tempatan.
“Kami mengiktiraf kemajuan dalam pendigitalan kastam dan kerjasama cukai, termasuk cadangan Malaysia untuk rangka kerja Nombor Pengenalan Cukai (TIN) serantau untuk mengukuhkan ketepatan data dalam pematuhan cukai,” katanya.-BH Online