Gua Musang: Lebih RM3 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi melaksanakan Projek Menaik taraf Fasiliti Pembiakan Spesis Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), di sini, milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Projek menaik taraf tempat pembiakan Rusa Sambar itu, di jangka siapa pada Januari 2026 itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) secara tender.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau sudah turun padang dan meninjau perjalanan projek terbabit dan berharap ia siap mengikut jadual.
Katanya, projek terbabit sudah bermula pada 29 Julai 2024 dan kini sudah mencapai status kemajuan projek sebanyak 21 peratus iaitu tiga hari mendahului jadual.-MyMetro Online
“Projek ini dibangunkan di atas kawasan seluas 38 hektar dengan kos kontrak
bernilai RM3.32 juta. Skop projek ini ialah penyediaan pagar perimeter luar ‘cyclone’
dan ‘barbed wire’ sekeliling sempadan kawasan.
“Penyediaan kawasan berpagar ‘cyclone’ bagi 21 padok termasuk ‘runway’ rusa yang melibatkan kerja perobohan pagar padok rusa sedia ada, pembinaan menara tinjau dan 47 unit tempat menyorok anak rusa.
“Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti fasiliti penyimpanan makanan, palung minuman, tandas, rumah pam serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal,” katanya ketika di temui di Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek terbabit adalah salah satu usaha Kerajaan Pusat dalam membantu menangani isu konflik manusia dan haiwan liar.
Katanya, projek terbabit adalah usaha Kerajaan Pusat bagi membekalkan haiwan pemangsa kepada Harimau Malaya supaya tidak lagi masuk ke kawasan perkampungan untuk mencari makanan.
“Saya difahamkan apabila siap nanti ia akan dapat menempatkan sebanyak 150 ekor induk Rusa Sambar dengan kadar kelahiran sebanyak 50 ekor setahun berbanding sekarang kadar kelahiran antara satu hingga dua ekor setahun.
“Rusa Sambar ini akan dilepaskan ke habitat asal mereka untuk dijadikan makanan kepada Harimau Malaya yang secara tidak langsung membantu menyelesaikan konflik manusia dan haiwan liar,” katanya.-MyMetro Online