SEREMBAN, 18 Mac – Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan program Mantai Rayo 2025 yang akan bermula pada 26 hingga 28 Mac depan.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, program itu bukan sekadar tradisi tetapi juga manifestasi kepada keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat dapat menikmati daging segar pada harga berpatutan menjelang Aidilfitri.
Penganjuran kali ini diperluas kepada 36 kawasan DUN yang diselaras dan diketuai ADUN dan Pusat Khidmat Dun di kawasan masing-masing.
“Mantai Rayo 2025 yang akan diadakan 26 hingga 28 dan selama tiga hari. Kita akan adakan program Mantai Rayo dimana ada Jualan Rahmah, jualan Agro MADANi, ada Jualan Nismilan Prihatin.
“Kita selaraskan di semua 36 DUN dan ada juga penyampaian sebanyak 100 penerima daging, 1 kilogram (kg) sorang, buat masa ini. Tetapi kalau ADUN sendiri nak tambah penerima yang kita kenal pasti sebagai memerlukan itu akan diberi secara percuma,” kata Aminuddin selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Mantai Rayo 2025, di sini.
Sebanyak 3,600 kg daging percuma serta bantuan barangan asas juga akan diagihkan kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di setiap kawasan DUN.
Penganjuran program selama tiga hari itu membolehkan pengunjung untuk mendapatkan barangan persiapan Aidilfitri dengan harga berpatutan. Turut menyertai program, ialah Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, dan Jualan Nismilan Prihatin.-Berita RTM