Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan singkat ke Pulau Pinang hari ini, mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang di pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), dekat sini.

I’m Beliau yang tiba pada 3.35 petang itu disambut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dan barisan EXCO Pulau Pinang.

Mesyuarat yang dijadual berlangsung selama satu jam itu, dijangka menyentuh mengenai pelbagai pembangunan dan projek strategik di Pulau Mutiara, bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Ia termasuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera, Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru MADANI, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3 di Pulau Pinang.

Sejurus selepas mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri dijadual merasmikan bangunan baharu Masjid Jamek Perai di Daerah Seberang Perai Tengah, sebelum sesi jelajah mesra Bazar Ramadan di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat.

Lawatan Perdana Menteri berakhir dengan Majlis Berbuka Puasa MADANI Negeri Peringkat Pulau Pinang di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara pada 6.45 petang.

Anwar kemudian dijangka akan berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) malam ini.-BH Online