Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Perubahan pimpinan tertinggi parti pembangkang di Perak tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April depan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perubahan tampuk pimpinan pembangkang negeri itu bermakna wujud kepincangan di peringkat lawan.

Fokus utama ketika ini, jelasnya, ialah memperkemas gerak kerja jentera BN menghadapi PRK berkenaan.

“Itu urusan pihak pembangkang dan saya beritahu jentera BN supaya kita buat kerja dan perkemas persediaan. Siapa pun jadi ketua pembangkang atau pesuruhjaya PAS negeri tidak memberi kesan kepada kita.

“Apa yang penting jentera BN buat kerja kita. Jika ada kelemahan di peringkat lawan, itu bonus kepada kita,” katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian kepada pemberita selepas program Santunan Kasih kerajaan negeri bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batang Padang di Dewan Serbaguna Air Kuning di sini, hari ini.

Sumbangan bakul makanan disampaikan kepada 300 orang ketua isi rumah (KIR) daripada kalangan penerima bantuan kewangan JKM Batang Padang terutama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

PAS ‘merehatkan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria daripada menjalankan tugas Pesuruhjaya PAS Perak manakala ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, dilapor melepaskan jawatan sebagai Setiausaha BERSATU Perak.

Bagaimanapun, PAS Perak tidak menyekat Razman daripada turun berkempen pada PRK DUN Ayer Kuning.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.-BH Online