NILAI: Latihan Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, pagi tadi dilaksanakan dengan persediaan rapi meskipun terdapat insiden membabitkan seorang penuntut yang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya menunggu laporan penuh daripada institusi berkenaan.
“Saya juga menerima berita mengatakan bahawa Politeknik Ungku Omar diserang dan menjadikan pelajar-pelajar yang ada di sana sebagai tebusan.null
“Bagaimanapun, seperti yang telah dijelaskan ia hanyalah satu latihan simulasi yang dibuat oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pihak hospital dan sebagainya bagi kita membuat persiapan sekiranya ada hal-hal yang yang tidak diingini berlaku.
“Namun, kita mengambil maklum mengenai prosedur yang perlu dilihat bagi memastikan supaya semua persiapan dibuat dengan elok.
“Tetapi saya sudah dapat maklum balas berkaitan dengan seorang pelajar yang terseliuh dan saya harapkan keadaan dia pulih,” katanya.
Terdahulu, Zambry hadir pada Program Karisma Pemikir Madani Siri 5 dan Majlis Peluncuran Inisiatif Penilaian dan Pelaporan Tahap Asas Kompetensi Bakat (BeSTARI) di AKEPT, di sini, hari ini.
Zambry berkata, masyarakat terutama ibu bapa tidak perlu risau berhubung ‘drama tebusan’ berkenaan.
“Saya belum dapat laporan penuh berkaitan dengan latihan yang dibuat di Politeknik Ungku Omar pagi tadi dan saya akan dapat laporan lanjut daripada pihak PUO.
“Saya fikir saya cakap tak perlu risau kerana ia adalah satu bentuk latihan. Mereka buat persiapan awal sebenarnya, bukan dibuat secara mengejut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan institusi pendidikan itu dipilih sebagai lokasi latihan pengurusan dan pengendalian krisis oleh pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) kerana berpotensi sebagai tempat serangan pengganas.
Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim dilaporkan berkata, ia berdasarkan kepada beberapa siri serangan yang berlaku di luar negara membabitkan pelajar dan institusi pendidikan.
Dalam latihan itu seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun mengalami kecederaan terseliuh pada kaki kiri selepas terjatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri.-BH Online