Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Arau: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) merancang ‘menghidupkan’ kembali 100,000 hektar ladang getah terbiar di negara ini bagi memberikan nafas baharu kepada sektor berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu juga dijangka mampu membantu meningkatkan pendapatan penoreh getah, sekali gus menaiktaraf sosioekonomi mereka.

Jelasnya, kerajaan tidak pernah berhenti memberikan dorongan kepada RISDA untuk melakukan pelbagai inisiatif dalam menyampaikan bantuan kepada pekebun kecil getah.

“RISDA adalah organisasi yang ditubuhkan untuk menjaga pekebun kecil yang mengusahakan penanaman getah dan daripada seluruh hasil getah, pekebun kecil menghasilkan lebih 80 peratus hasil getah negara.

“Pada masa sama juga, kayu getah mampu menjana pendapatan pekebun kecil di mana kayu getah mampu memberi pulangan melalui penebangan kayu getah lama untuk dijadikan sebagai bahan utama perabot setelah ia dirawat.

“Kayu getah yang dirawat ini kemudian boleh dieksport ke luar negara dan ini memberikan hasil berbilion ringgit kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin dan Pengerusi Asia Aeroteknik MARA Corp, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, terdapat kira-kira 400,000 hektar kebun getah yang perlu menjalani proses penanaman semula pokok.

Pada majlis itu juga, RISDA menyalurkan dividen tahun 2024 kepada 1,776 orang peserta Program Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) berjumlah RM10.99 juta, dengan jumlah purata setiap penerima memperoleh RM5,061 per hektar.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut menyampaikan cek cura bernilai RM3,000 setiap satu kepada empat masjid di negeri ini iaitu Masjid Al-Ikram Kampung Sena, Masjid Al-Munir Batu 5, Masjid AlHakim Padang Malau dan Masjid An-Nur UiTM Arau.

Selain itu, majlis berkenaan turut menyantuni 1,500 peserta program melalui edaran bubur lambuk, kurma serta barangan keperluan harian kepada 1,500 peserta program itu.-MyMetro Online