PUTRAJAYA: Pelaksanaan perintah mewajibkan pemaparan harga ubat-ubatan mulai 1 Mei bukan untuk mengawal harga bekalan berkenaan, sebaliknya bagi memberi pilihan sejajar dengan hak universal pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan perintah melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) membolehkan rakyat mendapat akses maklumat harga ubat, membuat perbandingan harga serta pilihan premis kesihatan.
“Mekanisme ini sudah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023 disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 8 Januari lalu.
“Ingin saya tegaskan bahawa perintah ini adalah untuk memaparkan harga ubat dan bukan untuk mengawal harga ubat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, cadangan itu tidak mendapat bantagan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), namun masih terdapat kebimbangan pengamal perubatan am (GP) swasta yang meminta kelonggaran dalam pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemaparan harga ubat itu akan dikuatkuasakan melalui perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
Jelasnya, Seksyen 10 AKHAP memperuntukkan kuasa menteri mengkehendaki barang atau perkhidmatan ditandakan dengan harga termasuk meliputi bentuk dan cara bagaimana maklumat itu hendak diberikan melalui perintah berkenaan.
“Selain memberi akses maklumat kepada pengguna, pemaparan harga ubat ini dilihat boleh membendung kadar inflasi perubatan Malaysia yang tinggi.
“Secara perbandingan, kadar inflasi perubatan Malaysia bagi tahun ini diunjurkan pada angka 15 peratus, lebih tinggi berbanding kadar purata 10 peratus bagi Asia Pasifik dan 11 peratus purata global,” katanya.
Beliau berkata, dapatan kajian itu jelas menunjukkan bahawa isu inflasi perubatan perlu ditangani secara serius dan perlu mendapat komitmen semua pihak.
“Kerajaan sudah membuktikan komitmen tinggi dengan penggubalan dasar ini dan badan pengguna perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan mekanisme ini diterima dan dipatuhi oleh semua pihak.
“KPDN amat berharap perintah ini dapat dikuatkuasakan pada kadar segera dan mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan bahawa perintah pemaparan harga ubat ini akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2025,” katanya.-BH Online