Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 13 Mac- Sindiket pemalsuan dokumen kelahiran yang dibongkar menerusi Op Tumpang, dipercayai sudah memperdaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan 80 sijil kelahiran sah dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan didalangi seorang pengamal undang-undang wanita berusia 55 tahun bersama tiga lagi individu.

“Modus operandi sindiket ini melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.

“Setelah sijil kelahiran yang sah diperoleh, ia dipercayai akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunya anak jagaan yang tidak mempunyai pengenalan diri dan kewarganegaraan Malaysia.

“Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri”, katanya dalam sidang media khas di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.

Seramai 10 warga tempatan ditahan dalam operasi khas yang dilaksana secara serentak di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Empat daripada individu berkenaan dipercayai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini, manakala enam lagi dikenal pasti sebagai pemaklum kelahiran.

Tambahnya, JPN tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan, seiring perkembangan siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) kerana mengemukakan pendaftaran kelahiran palsu.-Berita RTM