Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang meluluskan cadangan pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dijangka membabitkan lebih 100 lot di jajaran Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata tanah itu merangkumi tanah persendirian dan milik kerajaan negeri, termasuk dimiliki Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Notis Seksyen 8 bagi proses pengambilan akan dikeluarkan selepas semua perincian lot tanah dimuktamadkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Kemudian, proses pendengaran bagi pemilik tanah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan yang mana pemilik boleh menerima atau mengemukakan bantahan terhadap penilaian pampasan yang diberikan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, kelulusan cadangan tersebut adalah sebahagian daripada langkah penting untuk memastikan projek LRT Laluan Mutiara dapat dilaksanakan mengikut perancangan, dengan kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada suku ketiga 2025.

Beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi, menambah sebarang struktur di atas tanah terlibat dijangka akan dirobohkan atau dipindahkan selepas pengambil alihan tanah dilakukan kelak.

Mengulas mengenai pampasan terutamanya kepada pemilik tanah persendirian, Kon Yeow berkata, jumlahnya belum diputuskan kerana ia perlu dinilai oleh agensi berkaitan terlebih dahulu.

Berhubung perkembangan projek LRT, beliau berkata pada ketika ini, bengkel pengurusan nilai sedang dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corporation (MRT Corp), dan SRS Consortium untuk memuktamadkan reka bentuk serta kos projek.

“Dijangka pada hari akhir bengkel ini berjalan iaitu pada hari Jumaat ini, lebih banyak isu akan dimuktamadkan untuk keputusan dibuat,” katanya.

Tambahnya, berhubung soal pembangunan semula tapak pesta Sungai Nibong, tapak itu akan dibangunkan dengan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penyelesaian terbaik bagi pengambil alihan sebahagian kawasan berkenaan untuk projek LRT.

“MRT Corp telah mencadangkan pembangunan model TOD untuk mengekalkan tapak pesta kerana ia sebahagian daripada warisan Pulau Pinang, tetapi saya dimaklumkan ia akan dibina semula dengan saiz yang lebih kecil, daripada 16 ekar kepada 13 ekar.

“Sekarang kita boleh menganggap kerja-kerja pra-fizikal telah bermula, inu kerana semua proses yang sedang berjalan kini perlu dilaksanakan sebelum kerja fizikal boleh dimulakan,” katanya.

Projek LRT Laluan Mutiara merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km).-BH Online