Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kerajaan akan meminda dan menambah baik Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada sidang Parlimen sebelum akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ada beberapa aspek sedang diteliti untuk dimasukkan dalam pindaan atau penambahbaikan akta itu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan ketika ini, sesi libat urus berhubung perkara itu sedang dijalankan bukan saja dengan Tok Batin dan pemimpin Orang Asli tetapi juga golongan intelektual.

“Apabila sesi libat urus selesai dan draf awal pindaan itu dibuat, kita akan bersama bahagian draf undang-undang Jabatan Peguam Negara untuk menyelesaikan masalah ini.

“Insya-Allah, setelah selesai, pindaan ini akan dibawa kepada Jemaah Menteri dan saya sendiri yang akan membawanya untuk mendapatkan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Paling lewat pertengahan tahun depan tetapi kita akan cuba bawa akhir tahun ini untuk bentangkan di Dewan Rakyat dan kemudian di Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Masjid Al-Munawwarah, Taman Panchor Jaya, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; EXCO Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pindaan akta berusia lebih 70 tahun itu akan membabitkan beberapa perkara.

Antaranya, dalam soal tanah kerana terdapat beberapa pertikaian antara komuniti Orang Asli dengan pihak kerajaan negeri dan tuan tanah sama ada swasta atau kerajaan, selain berkait istilah kawasan rayau.

Selain itu, beliau berkata, penekanan akan diberikan kepada aspek pendidikan Orang Asli di mana kerajaan mempunyai rancangan khusus untuk mereka, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Selain itu, aspek ekonomi yang mana kita tahu Orang Asli ada hak dilatih, dibimbing dan diberi pinjaman menjadi usahawan serta kemudahan untuk mengilang produk jualan mereka.

“Kita juga akan melihat perumahan Orang Asli. Mereka juga harus diberikan rumah lebih selesa di kawasan tanah rizab Orang Asli,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, aspek infrastruktur bekalan air dan elektrik serta kemudahan lain juga akan dimasukkan dalam pindaan akta itu.

Beliau berkata, Ketua Pengarah JAKOA akan membuat kajian pembandingan dengan Akta Orang Asli Maori di New Zealand berfungsi, sekali gus menjadikannya antara panduan pindaan akta berkenaan di Malaysia.-BH Online