LUMUT: Pembinaan lima kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini mencapai tahap 71.62 peratus, sedikit lewat berbanding jangka masa ditetapkan.
Meskipun begitu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui kerajaan sangat berpuas hati terhadap kemajuan pelaksanaan pembinaan lima LCS membabitkan nilai RM11 bilion itu.
Mengulas lanjut, katanya kelewatan 1.68 peratus berbanding jadual asal disebabkan masalah peralatan yang sepatutnya dibekalkan pihak pengeluar peralatan asal (OEM).
“Secara khusus, kita sudah capai 71.62 peratus berbanding perancangan sepatutnya iaitu 73 peratus bagi kelima-lima LCS.
“Kementerian sangat berpuas hati, namun dan pada masa sama kami akan memantau dengan kehadiran dan lawatan seperti hari ini,” katanya sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata LCS pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026, disusuli LCS kedua yang akan diluncurkan ke air Mei ini pada April 2027 dan LCS ketiga pula dijangka diluncurkan ke air Januari 2026.
“Kita dapat lihat kapal LCS 2, 3, 4, dan 5 semuanya sedang dibina mengikut kemajuan masing-masing. Jadi itu kedudukan kapal-kapal kita sekarang.
“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak LUNAS kerana dapat melaksanakan peranan tanggungjawab dan komitmen ini untuk negara, serta juga kepada TLDM yang memantau kerja-kerja,” katanya.
Untuk rekod, LCS pertama berjaya diluncurkan atas permukaan laut di Limbungan LUNAS pada 23 Mei tahun lalu dan kini sedang melalui 22 bulan fasa ujian di pelabuhan dan ujian di laut, selain pemasangan perkakas.
Mengenai lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Lumut, Mohamed Khalid berkata pangkalan itu lokasi pertama beliau ke majlis berbuka puasa bersama warga ATM dengan kehadiran lebih 500 warga TLDM, semalam.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada waris 10 mangsa tragedi nahas helikopter TLDM Lumut pada April tahun lalu yang dikumpul melalui tabung khas dengan jumlah kutipan sekitar RM312,000 berakhir 31 Oktober 2024.-BH Online