Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Industri jualan langsung negara mencatat peningkatan sebanyak 7.4 peratus dengan mencecah RM34.4 bilion, tahun lalu, berbanding RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh, berkata berdasarkan laporan dikeluarkan World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA), industri jualan langsung Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian di kedudukan keenam dunia dan keempat Asia Pasifik dari 2020 hingga 2024.

“Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang mencatat penembusan pasaran tertinggi (No 1) pada peringkat global dengan jumlah peratusan 2.28 peratus.

“Pengiktirafan ini berjaya mengangkat industri jualan langsung Malaysia ke tahap setara dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena program penyampaian Lesen Jualan Langsung kepada 45 syarikat, iaitu 18 syarikat lesen baharu dan 27 syarikat lesen pembaharuan, hari ini.

Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berperanan serta bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung melalui Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500).

Seiring perkembangan industri jualan langsung di Malaysia dan global, beliau berkata, KPDN sedang meminda akta itu secara komprehensif.

“Penambahbaikan akta itu adalah bagi menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran pada masa ini.

“Matlamatnya ialah mewujudkan ekosistem industri jualan langsung yang lebih menyeluruh, mapan dan holistik serta menggalakkan amalan perniagaan yang beretika.

“Ini merupakan manifestasi dan komitmen KPDN dalam usaha membangun dan mengembangkan industri jualan langsung di negara ini sejajar aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI untuk memperkukuhkan kemakmuran negara agar dapat dikongsi secara adil, saksama serta inklusif kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Fuziah berkata, KPDN komited memastikan semua syarikat jualan langsung mematuhi segala peraturan dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.

“Justeru, melalui pemberian lesen jualan langsung ini, diharapkan semua pihak terbabit dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan kejujuran serta memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.

“Kerajaan kekal optimis bahawa industri jualan langsung akan cemerlang dan berkembang secara holistik, di samping mampu mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat serta memberi impak positif melalui sumbangan kepada pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.-BH Online