Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pejabat Education Malaysia Jordan (EMJ) sedang memantau rapat keadaan empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di negara itu, pada Jumaat lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau dimaklumkan tiga daripada mereka berada dalam keadaan stabil manakala seorang lagi masih memerlukan perhatian rapi pihak hospital di Jordan.

“Saya telah pun mendapat laporan awal tentang keadaan empat orang pelajar kita itu daripada pihak EMJ. Malah kita sedang melihat sendiri dan memantau keadaan mereka yang terlibat.null

“Mereka (EMJ) akan memaklumkan kepada kita dari semasa-semasa dan saya akan maklumkan nanti perkembangan keadaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, malam tadi.

Zambry turut mendoakan semua mangsa yang juga penuntut tahun pertama pengajian Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan berada dalam keadaan selamat, segera pulih serta kembali sihat seperti sedia kala. 

Sebelum ini media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, cedera selepas terbabit dalam nahas jalan raya di negara berkenaan.

Dua daripada pelajar berkenaan adalah dari Johor manala dua lagi masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur dilaporkan sedang menaiki kereta bersama-sama ketika nahas itu berlaku.- BH Online