KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang akan dan sedang berada wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani di Thailand dinasihat mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa berwaspada susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku, baru-baru ini.
Kementerian Luar melalui kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, sedang memantau rapat situasi di wilayah tiga wilayah berkenaan.
“Mengambil kira perkembangan terbaru itu, warga Malaysia yang akan dan sedang berada di ketiga-tiga wilayah terbabit adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa berwaspada.
“Kementerian juga meminta semua warga Malaysia untuk menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke wilayah-wilayah berkenaan buat masa ini,” katanya di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, warga Malaysia yang berada di wilayah berkenaan juga dinasihatkan mendaftar keberadaan dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Sekiranya berlaku kecemasan, warga Malaysia boleh berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi melalui alamat: No. 4, Sukhum Road Muang District Songkhla Province Thailand atau nombor telefon: +6674 311 062 /+6674 316 274 dan +6693 657 0707 (kecemasan sahaja) selain email, mwsongkhla@kln.gov.my.-BH Online