Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA BERANG: Bayaran Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 Projek Peserta FELCRA Bhd (FELCRA) berjumlah RM192.51 juta, umum Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia mencatatkan peningkatan luar biasa iaitu sebanyak 154 peratus atau RM116 juta berbanding tahun sebelumnya dan memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta yang terbabit dalam 583 projek.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada RM521.9 juta jumlah Keuntungan Boleh Agih Tahun 2024 dan FELCRA Berhad sudah salurkan dalam beberapa fasa kepada peserta.null

“Saya tentunya sukacita mengumumkan Bayaran Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 melalui projek peserta FELCRA bahawa keuntungan yang akan diagihkan ini berjumlah RM192.51 juta yang mula dibuat pembayarannya secara berperingkat oleh pengurusan FELCRA.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap FELCRA, mahu melihat FELCRA ini terus membantu bukan sahaja peserta-peserta melalui program penyatuan dan pemulihan tanah tetapi pada waktu yang sama FELCRA turut terlibat di dalam memberikan peningkatan keterjaminan makanan.

“Ini termasuk kompleks ternakan ayam pedaging secara sistem tertutup yang telah dibuat di Pahang dan InsyaAllah ada dua tempat lain yang akan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Pengisytiharan dan Pengagihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta-peserta FELCRA Berhad Tahun 2024, di sini hari ini.null

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan peningkatan ini, purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi masyarakat luar bandar.

Beliau berkata kejayaan itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 tan metrik per hektar.

Katanya, pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada kejayaan ini dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.

“Matlamat FELCRA adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta.

“Dengan sokongan kukuh daripada kementerian serta pendekatan strategik yang lebih mampan, FELCRA optimis dalam mencapai sasaran lebih tinggi bagi tahun-tahun mendatang selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor luar bandar,” katanya.-BH Online