Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga santan yang berlaku ketika ini bersifat bermusim serta berkait rapat dengan faktor permintaan dan penawaran bekalan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sehubungan itu, katanya, rakyat diminta tidak panik kerana pihak kementerian sedang giat melaksanakan beberapa langkah intervensi segera bagi menangani isu berkenaan.

Beliau memaklumkan sebelum ini, pernah berlaku lambakan kelapa tua tempatan pada 2018, 2020 dan kali terakhir 2023.

“Lambakan kelapa tua tempatan berkenaan berpunca daripada harga kelapa import yang lebih rendah daripada harga kelapa tempatan pada masa itu.

“Kini, faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga santan adalah kerana permintaan meningkat tetapi bekalan pula berkurangan.

“Antara punca kekurangan bekalan kelapa tua ialah perubahan cuaca menjejaskan produktiviti tanaman kelapa di dalam dan luar negara, serta kecenderungan petani tempatan untuk menjual kelapa muda berbanding kelapa tua yang diperlukan dalam pemprosesan santan.

“Justeru bawah intervensi jangka pendek, kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk sebanyak 640,000 biji kelapa tua setiap bulan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan bekalan kelapa untuk kegunaan Semenanjung, terutama ketika musim perayaan, adalah mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan FAMA dan FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACO) sudah membawa masuk 734 tan metrik bekalan kelapa tua dikupas dari Sabah serta Indonesia membabitkan nilai belian RM2.01 juta, setakat 4 Mac lalu.

Mohamad dipetik berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tindakan intervensi jangka pendek kementerian dalam menangani isu lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan setakat kelmarin, FAMA dan FAMACO telah membawa masuk bekalan kelapa tua sebanyak 734,096 biji dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM1.615 juta.

Seterusnya, beliau berkata, bekalan kelapa tua berkenaan diedarkan 42 Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal.

“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 usahawan santan di seluruh negara.

“Langkah ini dijangka membantu menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan serta produk lain yang berasaskan kelapa.

“Oleh itu, rakyat dinasihatkan tidak panik dan terus menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya.-BH Online