Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini bersama-sama menyucikan hati daripada kebencian dan membersihkan akal agar terbentuk insan lebih adil serta kuat ihsan, dan lebih dekat kepada Tuhan serta sesama insan.

Perdana Menteri sekali gus mendoakan seluruh umat Islam di Malaysia diberi kekuatan amal dan keyakinan takwa dalam menghayati ibadah pada Ramadan al-Mubarak kali ini.

Beliau dalam hantaran melalui Facebook, hari ini, berkata Ramadan adalah madrasah tarbiah ruhiyah di mana setiap insan dididik, diuji dan dimurnikan, selain menjadi tonggak penting dalam membina serta membentuk kekuatan dalaman umat.

“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual (rohani), cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati serta akal.

“Perjalanan kerohanian dalam Ramadan ini antara lain sebagai memaknai erti iman, takwa dan pengharapan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: ‘Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan, dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosanya yang lalu’,” katanya.

Anwar menekankan, puasa bukan sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga, malah menundukkan keangkuhan, menyanggah kezaliman dan penindasan, serta meredam ketamakan. 

“Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi juga kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala,” katanya.

Perdana Menteri juga menyifatkan Ramadan sebagai bulan penting dalam mengangkat dimensi sosial dan kemanusiaan bagi memupuk rasa prihatin terhadap masyarakat kurang bernasib baik.

“Sewaktu kita mempunyai kesempatan beribadah, ada saudara kita yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata.

“Sementelahan, falsafah tertinggi Ramadan menuntut setiap jiwa kaum Muslimin untuk melihat melampaui zahir serta menyelami roh dan batin,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan pembaziran sepanjang Ramadan ini.

“Jangan lupa untuk menjauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunan-Nya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan,” katanya.-BH Online