KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan jumlah perdagangan pada tahun ini untuk meningkat sekurang-kurangnya lima peratus berbanding RM2.879 trilion yang direkodkan pada 2024.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sasaran itu bagaimanapun tertakluk kepada risiko luaran termasuk tarif, dasar baharu serta potensi konflik perdagangan.
“Sama seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang kerap menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global akibat faktor geopolitik dan geoekonomi, kita juga akan melakukan perkara yang sama.
“Jika anda bertanya kepada saya hari ini, sasaran saya untuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah sekurang-kurangnya lima peratus pertumbuhan.
“Namun, dengan cabaran serta andaian yang dibuat, kami menjangkakan pertumbuhan sejajar dengan pertumbuhan KDNK,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI 2024 serta hala tuju strategik MITI bagi tahun 2025 di sini, hari ini.
Pada 2024, jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada rekod tertinggi RM2.879 trilion, melepasi paras RM2 trilion untuk tahun keempat berturut-turut.
Eksport melebihi RM1 trilion buat tahun keempat berturut-turut, meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Sementara itu, import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion, melepasi RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut.
Ditanya mengenai kedudukan negara dalam BRICS, Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat kekal dengan pendirian neutral dan bebas dalam menjalinkan perdagangan dengan mana-mana blok ekonomi atau negara.
Katanya, walaupun BRICS dilihat sensitif terhadap blok-blok tertentu, namun Malaysia tidak hanya berinteraksi dengan BRICS, tetapi juga dengan semua blok ekonomi lain.
“BRICS bukan satu-satunya kumpulan yang kita terbabit. Malaysia tidak bersendirian dalam perkara ini, Indonesia sudahpun menjadi ahli. Kita melihat penyertaan dalam BRICS sebagai satu cara untuk membuka pasaran baharu sebagai sebahagian daripada strategi mitigasi ekonomi.
“Selain itu, kita perlu memahami bahawa BRICS kini telah berkembang. Ia bukan lagi BRICS yang lama. Sebagai contoh, UAE, Mesir, dan beberapa negara lain kini menjadi ahli, menjadikannya lebih besar daripada lima atau enam anggota asalnya.
“Justeru, Malaysia akan terus memainkan peranannya sebagai kuasa pertengahan dengan berinteraksi bersama semua ekonomi. Matlamat utama adalah memastikan ekonomi Malaysia kekal terbuka dan berdaya saing di peringkat global.-BH Online