Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan kajian 1,000 Hari Pertama Kehidupan: Kajian Longitudinal di Langkawi (LLS) bagi mengenal pasti faktor tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kajian akan dilaksana dalam tempoh tiga tahun bermula Mac ini, dengan Langkawi dipilih lokaliti dan ibu mengandung sebagai persampelan.

“Kajian malpemakanan ini dikendalikan Institut Kesihatan Umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bermula awal kehamilan hingga kanak-kanak berusia dua tahun.

“Data dikumpulkan menerusi 11 sesi, tiga sesi semasa hamil, kelahiran (satu sesi) dan pasca kelahiran hingga anak berusia dua tahun (tujuh sesi),” katanya pada sidang media selepas melancarkan LLS dan Sistem Pengurusan Data Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dr Dzulkefly berkata, data menunjukkan 21.2 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami tumbesaran terbantut pada 2022, meningkat ketara berbanding 16.6 peratus pada 2011.

Katanya, sebanyak 100 klinik kesihatan di seluruh negara akan dilengkapi sistem CCMS menjelang 2025, sebagai antara inisiatif KKM mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

“Bagi Langkawi, sebanyak 13 fasiliti kesihatan dilengkapi sistem ini, merangkumi enam klinik kesihatan dan klinik desa (tujuh), manakala simulasi pelaksanaan dilaksanakan awal bulan ini,” katanya.

katanya, HSM dilengkapi Sistem Maklumat Hospital (HIS) sebagai antara langkah strategik diperkenal KKM bagi menangani beban pesakit yang terlalu ramai di hospital dan meningkatkan kecekapan rawatan.

“Ia memudahkan perkongsian maklumat pesakit antara fasiliti kesihatan di seluruh pulau ini, malah ia turut memudahkan proses rawatan pesakit yang dihantar ke mana-mana hospital di tanah besar,” katanya.-BH Online