KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan caj kesesakan kepada pemandu yang memasuki kawasan tertentu pada waktu puncak khususnya di Lembah Klang, adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini kerana sistem pengangkutan awam harus diperkasakan terlebih dahulu sebelum boleh mengkaji pelaksanaan caj kesesakan itu seperti dibuat negara maju.
“Caj kesesakan dibentangkan dan dibincangkan melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) dalam merangka strategi dan inisiatif penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk menangani isu kesesakan jalan raya yang semakin meruncing khususnya di kawasan Lembah Klang. null
“Antara perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai inisiatif pelaksanaan caj kesesakan seperti yang dilaksanakan oleh negara maju.
“Dalam hubungan ini, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengambil maklum berhubung pandangan daripada Kementerian Pengangkutan bahawa pelaksanaan caj kesesakan pada masa ini adalah tidak sesuai kerana sistem pengangkutan awam harus diperkasakan terlebih dahulu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, Loke berkata negara maju yang melaksanakan caj kesesakan ini, mempunyai sistem pengangkutan awam yang mampan dengan jaringan dan capaian perkhidmatan awam kepada rakyat adalah berada pada tahap yang baik. null
Sementara itu, Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak membatalkan lapan lesen pengendali dan permit kenderaan perdagangan sejak 2019 hingga tahun lalu, hasil pelaksanaan Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA).
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas 5,800 audit dijalankan terhadap 3,202 syarikat kenderaan perdagangan bagi tempoh sama.
“Sebanyak 473 lesen pengendali dan permit kenderaan digantung manakala lapan lesen pengendali dan permit kenderaan dibatalkan.
“Tindakan ini diambil berdasarkan kes kemalangan, dapatan dari JISA oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aduan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata, pemanjangan laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan dinilai sebagai pendekatan yang berpotensi untuk menyumbang kepada kemampanan operasinya sebagai laluan kargo utama selain Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Beliau berkata, ia dapat menyokong pengoperasian hub kargo dan pelabuhan darat di Rantau Panjang kelak.
“Namun, kementerian ini perlu meneliti kebolehlaksanaan jajaran itu kerana ia perlu mengambil kira peruntukan kewangan, model pembiayaan, impak alam sekitar, sosial dan ekonomi.
“Anggaran kos untuk menyambung ECRL dari Tunjong ke Rantau Panjang adalah hampir RM3 bilion,” katanya.-BH Online