KLANG : Kabinet meluluskan cadangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk mengubah skop pembinaan daripada landasan tunggal dwi tolok kepada landasan berkembar bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia membabitkan jajaran dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara (Northport) dan Pelabuhan Barat (Westports) sepanjang 25 kilometer.
Katanya, pengubahan skop pembinaan yang dikenali sebagai Seksyen D tidak memerlukan peruntukan tambahan oleh pihak kerajaan serta tidak akan meningkatkan kos pembangunan keseluruhan Projek ECRL.
“Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo serta kecekapan pengangkutan rel ke Northport dan Westports, Kabinet bersetuju untuk membina landasan berkembar, yang merangkumi landasan tolok standard baharu bagi perkhidmatan ECRL serta mengekalkan landasan tolok meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Perubahan skop kepada landasan berkembar ini dijangka memberikan impak besar dengan membolehkan perkhidmatan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, landasan berkembar itu juga akan memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import-eksport negara apabila projek ini siap sepenuhnya.
Katanya, anggaran kos pembinaan Projek ECRL selepas ditambah skop baharu di Seksyen D adalah lebih rendah berbanding kos pembinaan yang dimeterai pada tahun 2017 yang mana jajaran ECRL pada masa itu hanya berakhir di Stesen Jalan Kastam tanpa penyambungan ke Northport dan Westports.
“Jajaran Seksyen D ini memainkan peranan strategik dengan melengkapkan jambatan darat’ atau yang menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Timur dengan pelabuhan-pelabuhan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia melalui ECRL, sekaligus mengoptimumkan penggunaan kereta api untuk pengangkutan kargo bagi kedua-dua perkhidmatan ECRL dan KTMB.
“Di samping itu, ia juga dapat memastikan kesalinghubungan yang lancar antara yad di Pelabuhan Kuantan dengan yad-yad di Northport dan Westports (Pelabuhan Klang).
“Ia turut meningkatkan kecekapan operasi KTMB melalui penggunaan Pintasan Serendah untuk sampai ke yad-yad di Pelabuhan Klang.
Anthony berkata, untuk pembinaan landasan berkenaan, MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama akan mengeluarkan maklumat tender secara terperinci pada penghujung bulan ini.
“Keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan dan berpengalaman dalam industri rel,” katanya.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.
Manakala, sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.-BH Online