Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengurangan defisit fiskal Malaysia yang berterusan di bawah ekonomi Madani menandakan peralihan ke arah disiplin fiskal yang lebih tinggi dan daya tahan ekonomi yang lebih kukuh. 

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata walaupun hutang negara masih menjadi kebimbangan, namun memperlahankan pertumbuhannya melalui pengurangan defisit akan mengurangkan tekanan fiskal pada masa hadapan. 

Katanya, dengan defisit yang lebih kecil, keperluan kerajaan untuk berhutang semakin berkurang, sekali gus memperlahankan kadar peningkatan hutang negara.

“Ini juga menjadikan kos perkhidmatan hutang lebih rendah. Kurangnya keperluan pinjaman bermaksud kerajaan dapat mengurangkan pembayaran faedah ke atas bon kerajaan. Pada masa ini, sebahagian besar belanjawan operasi negara digunakan untuk perkhidmatan hutang yang mana mengurangkan dana untuk pembangunan.

“Langkah ini turut membantu negara mendapatkan penarafan kredit yang lebih baik. Agensi penarafan seperti Moody’s dan S&P menilai kesihatan fiskal sesebuah negara dalam menentukan penarafan bon. Defisit yang lebih rendah boleh meningkatkan kepercayaan terhadap kewangan Malaysia dan mengurangkan kos pinjaman,” katanya kepada BH ketika dihubungi baru-baru ini.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan MADANI berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus.

Katanya, pencapaian ini mencerminkan keyakinan dan kesungguhan kerajaan MADANI untuk mengubah ekonomi Malaysia, dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka ekonomi MADANI serta disokong oleh kestabilan politik.

“Kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu kerajaan MADANI dan industri. Menjelang tahun 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut Samirul Ariff berkata, dalam jangka panjang, defisit yang lebih kecil akan membawa manfaat seperti mengurangkan kebergantungan pada pembiayaan hutang dan keyakinan pelabur yang lebih tinggi terhadap pengurusan ekonomi Malaysia. 

“Selain itu, ia juga mendorong ekonomi yang lebih stabil dengan prospek pekerjaan dan gaji yang lebih baik serta perbelanjaan kerajaan yang lebih baik. 

“Namun, keseimbangan antara pengurangan defisit, pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kebajikan sosial tetap menjadi keutamaan. Kerajaan perlu terus melaksanakan reformasi struktur, peningkatan hasil melalui pembaharuan cukai, dan rasionalisasi perbelanjaan bagi memastikan disiplin fiskal diterjemahkan kepada kesejahteraan yang menyeluruh untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata defisit fiskal dilihat merosot ke paras RM79 bilion berbanding RM84 billion yg diunjurkan sebelum ini manakala dari segi nisbah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula, defisit merosot ke paras 4.1 peratus berbanding unjuran 4.3 peratus. 

Justeru katanya, langkah-langkah konsolidasi fiskal telah membuahkan hasil yang baik melalui pengenalan cukai barangan rendah atau LVG sebanyak 10 peratus, peningkata cukai perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 8 peratus, e-invoicing dan juga rasionalisasi subsidi bahan api Diesel. 

“Pada masa yang sama pertumbuhan ekonomi kekal mampan pada paras 5.1 peratus tahun lalu berbanding 3.6 peratus sebelum ini dan kadar inflasi juga kekal sederhana iaitu pada paras 1.8 peratus pada tahun 2024 berbanding 2.5 peratus dan 3.3 peratus bagi tahun 2023 dan 2022. 

“Justeru, kedudukan makroekonomi Malaysia berada pada paras yang baik dan seharusnya berupaya untuk menghadapi cabaran ekonomi luaran. 

“Selain itu, langkah konsolidasi fiskal juga telah memberi kesan positif terhadap kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan dasar ekonomi yang reformis dan tidak popular. Seharusnya perkara ini akan memberi kesan positif terhadap keyakinan para pelabur yang dapat meningkatkan nilai ringgit dan juga pergerakan pasaran saham tempatan,” katanya.

Tambah beliau, pihak agensi penarafan kredit seperti Moody’s Rating juga telah mengekalkan penarafan A3 dgn tinjauan stabil. 

“Perkara ini juga menunjukkan suatu bentuk “undi percaya” terhadap keupayaan kerajaan dalam mengurus sumber kewangan dengan berhemah,” katanya.-BH Online