KUALA LUMPUR: Bakal haji rakyat Malaysia yang memperoleh visa Furada atau visa Mujamalah disarankan menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata sebanyak 37 syarikat PJH dilesenkan oleh TH itu memiliki Lesen Pengendali Pelancongan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
“Semua 37 syarikat ini mempunyai kewangan yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia. null
“TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Syed Hamadah, pemberian visa Furada dan Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ia di luar kuota haji rasmi negara.
“Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.
“Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat ketika waktu kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair (hari kemuncak operasi haji),” katanya. null
Sehubungan itu, katanya sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), semalam melaporkan terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah yang disiasat sepanjang 2024 membabitkan nilai kerugian RM890,810.53.
“Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang ingin mengaut keuntungan.
“TH menyokong penuh saranan PDRM agar berwaspada dengan penipuan haji. Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara,” katanya.
Tambah beliau, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).-BH Online