KLUANG: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasar untuk melaksanakan persekolahan satu sesi membabitkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara menjelang 2030.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini lebih 9,000 sekolah rendah dan menengah kerajaan sudah melaksanakan sesi itu.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan perlu mempertingkatkan infrastruktur, perjawatan dan pengurusan lain bagi memenuhi maksud berkenaan.
“Ya, ini sebenarnya perkembangan pendidikan yang sangat baik sebenarnya. Kita ada kurang 10,000 lebih sekolah dan 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi dan ada lebih sedikit yang masih lagi kita perlu uruskan.
“Mengambil kira banyak faktor kerana kekangan soal tempat, premis sekolah itu sendiri dan juga pengurusan-pengurusan lain yang perlu kita ambil perhatian.
“Tetapi memang menjadi hasrat kita untuk sekolah ini menjadi satu sesi sahaja bagi mencapai maksud dan hasrat kita bahawa sekolah itu adalah sekolah yang kondusif untuk anak-anak di tempat tersebut, di premis tersebut.
“Jadi insya Allah mudah-mudahan saya ingat kita berhasrat untuk melihat lebih banyak lagi sekolah melaksanakan satu sesi dan ini adalah perkembangan yang baik dalam pendidikan Insya Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena INTAN Minister’s Conversation: Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Dewan Jemerlang, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan hampir 9,000 buah sekolah di seluruh negara sudah menggunakan sistem satu sesi bagi meringankan beban yang digalas
Sehingga Disember lalu, ada 8,997 buah sekolah atau 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di seluruh negara melaksanakan sistem satu sesi.
Sementara itu, mengulas tentang hukuman rotan kepada pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah, Fadhlina berkata, itu adalah kuasa Guru Besar atau Pengetua serta Guru Disiplin sahaja dan sudah ada garis panduan tentang hukuman rotan ini yang begitu jelas.
“Garis panduan ini sudah lama dan ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang memang kita hadkan kepada mereka yang tertentu sahaja,” katanya.-BH Online