KUALA LUMPUR: Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menerima bantuan melalui MyKad tidak berdepan sebarang masalah untuk membelanjakan wang diterima menggunakan kaedah itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia berdasarkan trend perbelanjaan 700,000 penerima SARA dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih yang menerima bantuan itu pada 15 Januari lalu.
“Penggunaan MyKad untuk SARA telah meluas pada tahun lalu. Kita nampak penggunaan lebih 90 peratus di kebanyakan negeri. Kita rasa tidak ada isu.
“Melihat kepada prestasi pelaksanaan program SARA pada 2024 yang turut melibatkan kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, kadar penggunaan tertinggi telah dicatatkan di Kelantan dan Perlis dengan 97 peratus tuntutan.
“Disusuli Terengganu dan Kedah dengan 95 peratus tuntutan melalui penggunaan MyKad dalam pembelian di lebih 700 buah kedai runcit terlibat,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Setakat 5 Februari lalu, Amir Hamzah berkata lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima SARA kategori miskin dan miskin tegar bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit terlibat.
Melihat kelancaran itu, beliau berkata kerajaan bercadang untuk menambah lebih banyak kedai runcit dan pasar raya untuk memberi lebih kesenangan kepada penerima bantuan berkenaan.null
“Apa yang kerajaan lakukan adalah untuk menambah kedai dan pasar raya yang boleh menggunakan (MyKad) ini agar menyenangkan penerima sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh mana pendekatan kerajaan dalam memperluaskan program SARA dengan menyalurkan bantuan melalui MyKAd untuk tahun ini agar lebih optimum dan berkesan berbanding kaedah pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara tunai.
Menjawab soalan mengenai perluasan SARA melalui MyKad di Sabah dan Sarawak, Amir Hamzah berkata ketika ini terdapat 210,000 penerima SARA di kedua-dua negeri berkenaan, masing-masing 110,000 di Sabah dan 100,000 di Sarawak.
Setakat 5 Februari lalu, beliau berkata sebanyak 82 peratus penerima isi rumah di Sabah dan 78 peratus penerima isi rumah di Sarawak mula membuat perbelanjaan sejak 15 Januari lalu.
Ia membabitkan lebih 560 buah kedai runcit berdaftar di Sabah dan Sarawak termasuk di kawasan pedalaman.-BH Online