Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jurang ketidaksamaan di Malaysia adalah perkara mendesak untuk ditangani oleh kerajaan bagi memastikan mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi dapat dicapai. 

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata bagi melaksanakannya, semua pihak perlu melihat kepada penilaian holistik terhadap ketidaksamaan, intervensi awal terhadap jurang peluang dan pasaran buruh yang dinamik.

“Menurut laporan, pada 2022, hanya 13 peratus daripada ketidaksamaan pendapatan di Malaysia boleh dijelaskan oleh perbezaan dalam purata pendapatan antara kaum. 

“Sebanyak 87 peratus daripada ketidaksamaan ini sebenarnya wujud dalam setiap kumpulan terbabit. Sebagai contoh, jurang antara Bumiputera yang miskin dan kaya adalah jauh lebih besar berbanding perbezaan antara purata pendapatan Bumiputera dan purata pendapatan bukan Bumiputera,” katanya selepas merasmikan Laporan Bank Dunia mengenai Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, jurang peluang di Malaysia, yang merujuk kepada keadaan yang telah ditentukan sejak lahir dan bukannya hasil daripada usaha atau pilihan individu, menyumbang sebanyak 65 peratus daripada jumlah ketidaksamaan pendapatan

Beliau berkata, kajian global telah menunjukkan bahawa jurang akademik sejak awal kehidupan memberi kesan jangka panjang kepada kanak-kanak miskin, pelajar berpendapatan rendah lebih cenderung untuk tercicir dari sekolah dan ketidaksamaan pendapatan dapat dikesan sejak awal kehidupan.

Justeru, katanya, Malaysia bukan sahaja perlu melabur dalam pembangunan modal insan yang asas termasuk kesihatan dan pendidikan, malah intervensi perlu dilaksana lebih awal. 

“Tindakan pembetulan yang ditangguhkan seringkali lebih mahal dan sukar. Ini satu-satunya cara untuk membantu isi rumah miskin mengatasi jangkaan yang terhad terhadap anak-anak, supaya mereka percaya bahawa anak-anak ini juga mampu mencapai tahap tertinggi dalam masyarakat.

“Selain itu, antara perkara pertama yang dilakukan oleh kerajaan adalah membangunkan naratif pertumbuhan mampan yang berasaskan peralihan tenaga, teknologi dan inovasi serta kluster dan zon ekonomi.

“Tanpa pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kukuh, pekerjaan bernilai tinggi akan mengambil masa yang lama untuk diwujudkan, dan tanpa pekerjaan yang baik, pendapatan juga akan sukar meningkat,” katanya.

Rafizi berkata, kerajaan juga menyedari adalah tidak mencukupi untuk hanya melihat aspek penawaran dalam pasaran kerja tanpa memahami keperluan golongan muda.

Beliau berkata, hakikatnya, golongan belia tidak lagi melihat nilai tambah dalam pendidikan dan kemahiran sebagaimana generasi terdahulu. 

“Ketidakpadanan kemahiran, pekerjaan di bawah tahap kelayakan, dan gaji rendah semakin menjadi kebiasaan di pasaran buruh.

“Pada masa yang sama, kita juga mengambil langkah campur tangan secara langsung untuk membetulkan struktur pasaran buruh melalui Dasar Gaji Progresif,” katanya.-BH Online