KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti kesesuaian untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak selepas lat atau tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri itu tamat tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan jika difikirkan perlu selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sabah akan berakhir pada 2025, manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pada 2026.
“Lat tempoh lapan tahun bagi Sarawak sudah pun berakhir pada 2023 dan SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan.
Difahamkan, kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya ialah pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sarawak kini mempunyai jumlah kawasan DUN paling banyak di negara ini dengan keseluruhan 82 kawasan, selain 31 kerusi Parlimen.
Azalina berkata, SPR menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan dan menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan.
Sebelum ini, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan pendirian untuk memastikan Sabah dan Sarawak memperoleh satu pertiga kerusi Dewan Rakyat menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dibuat selepas ini.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata ia kerana tuntutan agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat sudah lama disuarakan, namun sehingga kini masih tertangguh.
Beliau berkata, tuntutan satu pertiga itu adalah berdasarkan agihan asal kerusi Dewan Rakyat pada awal pembentukan Malaysia yang mana jumlah kerusi Parlimen di Sabah, Sarawak dan Singapura pada waktu itu mewakili satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi seluruh negara.-BH Online