KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata garis panduan itu akan diperkenalkan supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Memberi contoh, garis panduan itu mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
Ia turut terkait soal pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
Selain itu, ia turut meliputi hal mengenai lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf dan premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
“Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama selain Islam di premis kerajaan yang turut membabitkan orang Islam yang perlu menjaga akidah, selain memelihara perpaduan pelbagai kaum.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.
“Garis panduan ini juga melengkapi garis panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
“Mana-mana yang dalam garis panduan lama bertentangan dengan yang baru, maka garis panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya.-BH Online