PUTRAJAYA: Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini, lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Disember 2016.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Mirziyoyev akan diiringi tujuh menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Bakhtiyor Saidov serta pegawai-pegawai kanan lain.
“Mirziyoyev akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera di Putrajaya esok, diikuti pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka dijangka meneliti kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan, susulan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri ke Uzbekistan pada Mei 2024,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar atau turut dikenali Wisma Putra memaklumkan kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Seterusnya, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU), iaitu MoU Kerjasama dalam bidang Kesihatan, MoU Kerjasama dalam bidang Sains Forensik dan MoU dalam bidang Budaya, serta empat Pertukaran Nota, iaitu dalam Pengajian Tinggi, Latihan Diplomatik, Halal dan Kastam.
Perdana Menteri juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan Mirziyoyev, menurut kenyataan itu.
“Kedua-dua pemimpin turut dijangka hadir ke Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur.
“Forum itu akan memberi peluang untuk meneroka kerjasama ekonomi dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Petronas,” menurut Wisma Putra.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Uzbekistan mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (AS$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (AS$94 juta) pada 2023. Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).
Pada tahun sama, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.-BH Online