SHAH ALAM: Malaysia kini diiktiraf sebagai antara lima negara utama yang aktif dalam program wakaf al-Quran di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini menunjukkan Malaysia bukan saja komited dalam memperkasakan wakaf al-Quran di dalam negara, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkan al-Quran di peringkat global.
Beliau yang juga Penaung Wakaf al-Quran Kebangsaan berkata, itu terbukti dengan kerjasama antara negara-negara Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dalam penyediaan al-Quran dan bahan pendidikan Islam juga semakin berkembang.
“Malam ini, saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memperkasakan syiar Islam melalui inisiatif Wakaf al-Quran yang dilihat mampu meluaskan akses terhadap al-Quran dan menghidupkan amalan berwakaf demi melahirkan generasi celik al-Quran yang memahami dan mengamalkan ajarannya, serta membina ummah dan negara Baldatun Toyyibah Wa Rabbun Ghafur.
“Bahkan, program Wakaf al-Quran oleh Yayasan Restu dan Majlis Agama Islam Negeri sudah menyumbangkan lebih 100,000 naskhah al-Quran keluar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, China, dan Afrika Selatan.
“Di Malaysia, Waqaf al-Quran yang bermula sejak 2007 dengan matlamat utama menyebarkan al-Quran kepada masyarakat yang kurang berkemampuan, sehingga kini dianggarkan lebih 500,000 naskah diwakafkan oleh pelbagai institusi dan organisasi di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum melancarkan Program Wakaf al-Quran peringkat Kebangsaan sempena Festival Seni al-Quran Antarabangsa 2025 (ReQaf) di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat percetakandan pengedaran al-Quran terbesar di rantau ASEAN.
“Dengan adanya Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, Malaysia kini memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa dan mampu mencetak jutaan naskhah al-Quran setiap tahun.
“Justeru, marilah kita bersama-sama menjayakan misi ini. Dengan tekad dan kesungguhan, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam memperkukuhkan institusi wakaf dan pendidikan Islam,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia menunjukkan komitmen yang kuat terhadap inisiatif wakaf Al-Quran melalui pelbagai bentuk sokongan.
“Melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), kerajaan memperuntukkan lebih RM50 juta setiap tahun untukprogram wakaf pendidikan Islam, termasuk wakaf al-Quran,” katanya.
Pada majlis itu katanya, selain mengedarkan Mushaf Huffaz kepada anak-anak tahfiz, beliau dan seluruh tetamu menyaksikan inovasi baharu dalam program wakaf ini dengan memperkenalkan Mushaf Mufiq.
“Mushaf ini dilengkapi terjemahan, tafsir, dan maklumat tambahan lain bagi memudahkan pembaca memahami dan menghayati al-Quran.
“Usaha memartabatkan al-Quran bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa agama semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama.
“Generasi muda perlu dididik dengan kefahaman bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi harus dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.-BH Online