PUTRAJAYA: Tiga Jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) digabungkan menjadi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional sebagai inisiatif menangani pelbagai isu berbangkit dalam sektor kesihatan.
Ia membabitkan Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani Denggi Bilangan 1/2025 dipengerusikannya di sini, hari ini.
“Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional yang (mesyuaratnya) akan diadakan sebanyak tiga kali setahun,” katanya menerusi kenyataan.
Mengenai perkembangan kes demam denggi, Ahmad Zahid berkata, KKM merekodkan sebanyak 122,423 kes dan 117 kematian pada tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 0.6 peratus dan peningkatan kematian sebanyak 17.0 peratus berbanding tahun 2023.
Katanya, bilangan kes yang dilaporkan pada awal tahun 2024 adalah melebihi 3,000 kes seminggu.
“Namun, terdapat perkembangan positif apabila berlaku trend penurunan kes bermula pada Minggu Epidemiologi ke-29 (20 Julai 2024).
“Kini, purata kes mingguan menurun dengan ketara kepada sekitar 1,200 hingga 1,500 kes sahaja setiap minggu dan berada di bawah paras median lima tahun,” katanya.
Katanya, setakat Minggu Epidemiologi ke-04 (25 Januari 2025), secara kumulaitf sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh sama tahun 2024 iaitu penurunan kes denggi sebanyak 61.7 peratus dan kematian sebanyak 66.7 peratus.
“Penurunan ini adalah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak, termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat, yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Beliau berkata, bagi memperkukuh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan ‘Whole of Nation’ (menyeluruh), beberapa keputusan sudah diputuskan antaranya, semua kementerian, jabatan, agensi perlu memperkukuh inisiatif sedia ada dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.
“Kerjasama antara Bahagian Kawalan Penyakit (BKP), KKM dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diteruskan dengan menambah baik sistem sedia ada berdasarkan keperluan semasa dan memanfaatkan teknologi terkini untuk memastikan pengurusan denggi yang lebih efektif.
“Meneruskan pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dengan penambahan 10 lokaliti baharu setiap tahun serta memperluaskan di negeri lain.
“Pada masa ini hanya lapan negeri yang melaksanakannya iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Pahang serta Negeri Sembilan,” katanya.-BH Online