KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala pertimbangan.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Dzulkefly berkata, terma-terma rujukan jawatankuasa itu terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.
“KKM akan meneruskan usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutama petugas kesihatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM supaya menarik balik pekeliling cadangan pelaksanaan WBB, iaitu sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam negara.
HDK dipetik menegaskan, pekeliling WBB harus ditarik balik serta-merta bagi mengelak kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.
Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Semalam, MMA mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly dan pegawai kementerian untuk membincangkan isu berkaitan petugas penjagaan kesihatan serta penjagaan kesihatan awam.
Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, dipetik berkata antara isu yang dibincangkan adalah dasar WBB yang didakwa menyebabkan kekeliruan serta ‘ketegangan’ dalam kalangan doktor dan kumpulan doktor muda sepanjang minggu lalu.-BH Online