Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Malaysia berharap gencatan senjata di Gaza bersifat kekal, sekali gus menghentikan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia menyambut baik gencatan senjata 42 hari yang diurus bersama oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

“Gencatan senjata ini pastinya disambut baik kerana ini yang kita desak iaitu supaya pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin dihentikan.

“Alhamdulillah, gencatan senjata sementara dapat dicapai kedua-dua pihak dan kita berharap bantuan kemanusiaan bukan sahaja makanan tapi perubatan, dapat segera dihantar, setakat ini pun banyak dah dihantar sejak pintu Rafah dibuka.

“Kita juga berharap gencatan senjata ini bersifat kekal dan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disokong majoriti negara untuk menubuhkan negara Palestin dapat segera dicapai,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada rumah berhala, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga emas peringkat Parlimen Rembau di sini, hari ini.

Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang mengorbankan ribuan nyawa di Gaza.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani dilaporkan berkata, perjanjian itu membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata Malaysia telah berunding dengan Jepun untuk mengadakan perjumpaan dengan negara sepemikiran lain berhubung cara mengumpulkan kewangan bagi membantu pembangunan semula di Gaza.

“Kita akan berunding dengan Jepun. Sepatutnya persidangan pada Julai depan tapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minta disegerakan.

“Saya telah berhubung dengan rakan sejawat dan sedang menunggu maklum balas daripadanya,” katanya.

Mengenai program berkenaan, Mohamad berkata ia membabitkan 815 penerima dengan perbelanjaan melebihi RM200,000.

“Saya berharap sedikit buah tangan ini dapat menceriakan mereka terutama warga emas menyambut Tahun Baharu Cina pada 29 Januari ini,” katanya.-BH Online