Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) membuka pemohonan pertukaran guru sepanjang tahun dengan penempatan dilaksanakan ketika cuti sekolah dalam usaha menangani isu guru duka lara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu sekali gus menafikan dakwaan pihaknya tidak cakna dan prihatin dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, semua permohonan pertukaran dipertimbangkan berdasarkan kepentingan pendidikan seperti pasangan jarak jauh, kesihatan dan keselamatan serta konteks kebajikan guru itu sendiri sebelum proses pertukaran diluluskan.null

“Permohonan kita buka sepanjang tahun tetapi penempatan pertukaran itu mesti berlaku ketika cuti sekolah.

“Keutamaan kita adalah daripada segi keperluan dan juga melihat kepada kesan kepada keseluruhan pendidikan.

“Pertukaran ini yang tertinggi yang kita tangani adalah pasangan jarak jauh. Jadi memang kita beri keutamaan kepada isu-isu pasangan jarak jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pendidikan bersama warga Institut Pendidikan Guru di Pusat Bahasa Inggeris (TELLTRAC) Kampus Dato Razali Ismail di sini hari ini.

Ketika ditanya dakwaan proses pertukaran yang lambat, Fadhlina menafikannya dan sebaliknya memaklumkan segalanya perlu mengikuti proses yang ada.

“Tak betul, mesti ikut permohonan. Mana ada permohonan yang tidak mengikuti proses, mesti semua ikut proses,” katanya.-BH Online