KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan RM93.374 juta bagi melaksanakan kerja pengurusan cerun di Semenanjung pada tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, RM59.885 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan cerun baharu di 50 lokasi.
“Selain itu, kerja-kerja sambungan di 29 lokasi sebanyak RM29.233 juta dan RM4.255 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, kerja pengumpulan data dan kemas kini peta bahaya risiko cerun,” katanya selepas perasmian Majlis Penyerahan Arahan Kerja (AK) Tahun 2025 di kementerian berkenaan pada Selasa.
Beliau juga berkata, lebih 500 permohonan rasmi berkaitan pembaikan cerun diterima KKR dengan 50 lokasi dikenal pasti dan diluluskan untuk tindakan pembaikan.
“Walaupun bilangannya (permohonan diluluskan) tidak banyak, tetapi ini adalah pelaksanaan bagi fasa satu. Kita akan memantau dan meneruskan fasa dua mengikut keperluan,” katanya.
Pada majlis itu, Arahan Kerja Tahun 2025 bagi Projek Penyelenggaraan Cerun di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia diserahkan kepada Syarikat Pintas Utama Sdn Bhd.
Nanta berkata, syarikat ini merupakan kontraktor jangka panjang yang dilantik bagi membantu kerajaan melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun mengikut keperluan dan kelulusan kementerian berkenaan.
“Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) pula dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Projek untuk merancang, mengurus dan menyelia kerja-kerja penyelenggaraan cerun di sepanjang Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peruntukan RM200.285 juta yang diberikan kepada kementerian berkenaan pada 2024 telah digunakan untuk pembaikan cerun di 166 lokasi, dengan kos RM154.345 juta.
“Kerja-kerja preventif juga telah dilaksanakan di 20 lokasi cerun dengan perbelanjaan RM24.199 juta, sementara RM21.74 juta lagi digunakan untuk menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, kerja pengumpulan data, pengemaskinian peta bahaya risiko cerun serta penyelenggaraan rutin cerun,” katanya.
Nanta berkata KKR sentiasa prihatin dan komited dalam usaha mempertingkatkan keselamatan dan kemudahan infrastruktur untuk rakyat dalam memastikan hubungan, akses serta mobiliti rakyat melalui rangkaian jalan raya persekutuan berkualiti, selamat dan selesa. – Bernama