NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membentangkan cadangan memperluaskan pemberian Baucar Buku MADANI kepada guru pada mesyuarat Kabinet akan datang.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya bercadang berbuat demikian susulan kejayaan penebusan baucar buku oleh murid yang mencapai 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, berdasarkan angka itu, pihaknya percaya komitmen untuk meneruskan pemberian baucar buku berkenaan perlu dilakukan bukan saja dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi juga membabitkan guru untuk menikmati kemudahan itu.null
“Jadi, kita akan angkat cadangan ini (pemberian Baucar Buku MADANI) kepada jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet (akan datang).
“Pada mesyuarat (Kabinet) itu nanti, kita akan melaporkan kejayaan (pemberian) baucar buku pada tahun lalu yang mencapai penebusan 100 peratus dan ini pencapaian besar walaupun tidak mudah, hasil komitmen semua pihak termasuk guru.
“Paling mengagumkan, kita juga berjaya melaksanakan penebusan sepenuhnya di kawasan luar bandar, sebab itu kita harap ia dapat diperluaskan kepada guru juga pada tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 Peringkat Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.null
BAP berjumlah lebih RM33.9 juta diberikan kepada 226,004 murid di seluruh sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM50 kepada murid Tahun Empat dan ke atas, manakala RM100 kepada pelajar sekolah menengah, kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, penebusan sepenuhnya baucar buku itu pada tahun lalu menunjukkan budaya membaca dalam kalangan pelajar semakin meningkat.
“Kita nampak dengan penggunaan baucar buku yang ditebus sepenuhnya (oleh murid dan pelajar) memberikan kesan langsung kepada budaya membaca serta peningkatan pembacaan anak-anak kita,” katanya.-BH Online